Sunday, 1 April 2012

aku bukan Tuhan

salam..

‘aku bukan Tuhan’. ya, benar kita bukan Tuhan, tapi kadang-kadang kita cuba untuk mengambil alih tugas atau kuasa Tuhan. kenapa saya cakap begitu? mungkin bunyi agak lancar mulut saya bercakap, bukan? mungkin bunyi agak selamba saya mengutarakan kata. ya, agak ‘berdesing’ untuk di dengar oleh telinga. tapi inilah hakikat tanpa kita sedar.

jangan cepat melatah! saya tidak fokuskan kata-kata saya ini kepada sesiapa, tapi saya tujukan kata-kata ini buat diri saya sendiri dan sesiapa sahaja yang sama-sama ingin belajar dari kesilapan saya yang lepas.

berbalik kepada pernyataan di atas, ‘aku bukan Tuhan’ di tujukan buat diri saya sendiri. kenapa? pernah suatu ketika dulu saya menyalahkan takdir atas apa yang telah Allah tentukan dalam hidup saya. tapi saya telah di nasihati oleh seorang yang saya segani. saya kongsikan untuk manfaat bersama. dialog saya bersama si penasihat…

saya: “kenapa Allah tentukan semua ini dalam hidup saya? kenapa bukan orang lain? kenapa saya yang di uji? kenapa Allah uji dengan ‘semua’ ini tapi bukan dengan benda lain?”.

penasihat: “kenapa Allah kena ikut apa yang kamu pilih untuk tentukan apa yang harus terjadi dalam hidup kamu? dan kenapa kamu yang memberi pilihan kepada Allah? bukankah itu bermakna kamu yang lebih berkuasa daripada Allah sebab kamu suruh Allah buat itu, buat ini ikut apa yang kamu suka? bukankah kalau macam tu, bermaknanya kamu ini Tuhan dan Allah mengikut perintah kamu? (dia sentiasa tersenyum ketika menasihati saya).

saya: “tapi……”.

penasihat: “tapi apa???” (masih tersenyum lembut).

saya: “tak ada apa-apa..” (tersenyum malu ketandusan kata-kata untuk menyangkal kata-katanya).

tidak salah apa yang saya katakan bukan? tanpa sedar kita ingin menjadi Tuhan. kita ingin apa yang terjadi dalam hidup kita hanyalah apa yang kita suka sahaja. kita mahu ketentuan dari Allah itu bertepatan dengan ‘selera’ kita. jika tidak kena pada selera kita, kita marah, melenting dan tidak suka.

dengan berani kita akan bertanya lepada Allah, kenapa tidak itu, kenapa tidak ini? kenapa harus begitu kenapa harus begini? bukankah bagus kalau begitu, bukankah bagus kalau begini?

kalau kita ingin semuanya terjadi atas kehendak kita, maka kita cuba untuk menjadi Tuhan. mencorak takdir kita mengikut citarasa kita. tapi nanti akan ada suara menjerit dalam diri kita mengatakan “tidak! aku bukan Tuhan”. nah! kalau kita bukan Tuhan kita harus menurut perintah mengikut kehendak Tuhan bukan mengikut kehendak kita.

percayalah, ketentuan Allah itu adalah yang terbaik buat kita. tapi ada suara yang berbisik dalam diri kita “kalau terbaik kenapa kita tidak suka? kalau yang terbaik semestinya kita akan suka. ada ke benda yang terbaik tapi kita tidak suka?”. jawapannya ya! ada.

dalam surah al-Baqarah ayat 216 Allah s.w.t berfirman yang bermaksud “ ..boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”.  

analogi (perbandingan) yang boleh di berikan untuk situasi ini.

seorang anak kecil dan ibu bapanya. anak kecil itu suka memakan gula-gula dan itulah makanan kegemarannya. tapi ibu-bapanya selalu melarang, menasihati, malah kadang-kadang memarahinya. tetapi dia berdegil ingin selalu memakan gula-gula bagaikan makanan ruji. bila dia tetap berdegil walau dengan apa cara sekalipun ibu bapanya menegur, akhirnya ibu bapanya merampas gula-gula dari anak kecil itu. dan mengantikannya dengan nasi. anak itu marah, memberontak dan menangis, sebagai menunjukkan tanda protes dia tidak mahu memakan nasi yang di berikan.

dalam hal ini salahkah ibu bapa tersebut berbuat demikian? sudah tentu tidak bukan? malah kita menyokong tindakan ibu bapa tersebut. kenapa? bukankah gula-gula itu di sukai oleh anak kecil itu? dan pada pendapatnya gula-gula itu adalah makanan yang terbaik yang dia tahu dan nasi itu tidak baik untuknya kerana dia tidak menyukainya. ya, apa yang dia (anak kecil) tahu. sebaliknya apa yang ibu bapanya tahu gula-gula itu tidak baik untuk kesihatannya dan nasi itu baik untuk membantu tumbesarannya.

di sini, kita di ibaratkan ‘anak kecil’ itu dan Allah adalah ‘ibu bapa’. adakalanya kita suka sesuatu dan pada kita itulah yang terbaik untuk kita. tapi adakalanya apa yang kita suka itu sebenarnya tidak baik untuk kita. dan ketentuan Allah itu adalah yang terbaik untuk kita kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbatas oleh pengetahuan kita. sebab kita hanyalah hamba dan Allah Pencipta. Allah lebih mengenali kita berbanding kita mengenali diri kita sendiri.

oleh itu adakalanya kita di kurniakan dengan sesuatu yang kita tidak suka tapi ianya adalah yang terbaik untuk kita. kita namakannya dengan pelbagai nama ujian, musibah, bencana, malapetaka dan apa sahaja. tapi ingatlah, semua ini terbaik untuk kita sedang kita tidak mengetahui tapi Allah lebih mengetahui.

terkadang ujian itu terasa cukup pahit untuk di telan. tapi ingatlah, walau meneguk yang manis itu terasa nkmat, adakalanya memberi mudarat. walau meneguk yang pahit itu terasa liat, adakalanya memberi manfaat. marilah kita sama-sama bersangka baik dengan ketentuan Allah. moga perkara-perkara baik akan ‘berlegar-legar’ di sekeliling kita.

bila mengenangkan cerita ‘anak kecil’ itu, saya terkadang tergelak sendiri. kelakar rasanya dengan tingkah saya suatu ketika. di waktu di uji, saya bagaikan ‘anak kecil’, menangis, memberontak dan menunjukkan ‘protes’ saya kepada Allah dengan takdir ujian dalam hidup saya. sambil menangis, saya seakan ‘berlari’ pergi dari Allah, marah, mendengus tidak puas hati.

saya tidak peduli tetap ‘berlari’ walau di ‘panggil’ berkali-kali oleh Allah. ya, Allah ‘memanggil’ saya, melalui bukti-bukti yang nyata di dalam al-Quran melaui terjemahan al-Quran yang saya baca. saya membaca terjemahan al-Quran dan buku-buku ilmiah untuk mencari jawapan-jawapan tentang persoalan kenapa saya di uji.

saya temui jawapannya di awal pembacaan saya, tapi ego saya cuba menidakkannya. tapi saya tetap teruskan membaca, baca dan baca lagi. cuba mematahkan ego dalam diri, cuba memaksa diri menerima ‘fakta’ yang tersurat dalam al-Quran. tapi masa berlalu mengajar saya menerima hakikat yang ujian ini hanyalah ‘alat’ yang Allah gunakan untuk memberitahu saya ‘ketentuan ini adalah yang terbaik buat saya dari ketetapan yang Allah kurnia’.

saya bagaikan ‘anak kecil’ yang merajuk dengan Allah dengan harapan Allah akan memujuk saya dengan ‘mengembalikan’ keadaan seperti sebelumnya. tapi lain yang saya harap, lain pula jadinya. Allah ‘memujuk’ saya dengan cara-Nya tersendiri. bila pengertian yang saya cari, BUKTI yang Allah bagi dengan menjawab persoalan-persoalan yang menyesakkan fikiran saya.

kelakar rasanya tingkah dan karenah saya dengan Allah. tapi Allah masih ‘melayan’ ‘anak kecil’ yang merajuk ini, terasa manis sahaja kenangan di timpa musibah. inilah di namakan, yang pahit itu akan bertukar menjadi manis bersama masa.

teringat bila nenek saya di kampung membuat tapai pulut, mulanya pulut tidak ada rasa dan kita namakan ‘beras pulut’, makin lama di peram makin manis rasanya dan kita panggilnya ‘tapai pulut’. begitu juga dengan ujian hidup, mulanya terasa amat pahit dan kita panggilnya musibah atau ujian, makin lama meninggalkan makin terasa manisnya, dan kita panggilnya pengalaman.

seiring dengan rasa begitulah bertukar namanya. indah bukan kejadian ciptaan Tuhan? jadi jika indah mengapa kita perlu berasa gundah? nikmatilah keindahannya.

akhir kata dari saya, “adakalanya kita mengimpikan sesuatu, tapi kita tidak mendapat apa yang kita ingini itu, tapi Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih bermakna dari ‘itu’..”.

saya kongsikan kata-kata perangsang dari seorang sami buddha “affliction can be meaningful when we can grow wise from it”. 

No comments: